Monday, July 12, 2010

sekadar ingin berkongsi..

27 rejab telah berlalu..sekadar ingin berkongsi ilmu yg diperolehi dari program TANYALAH USTAZ kat tv9 baru-baru nie pasal peristiwa israk dan mikraj..

PERJALANAN YANG DI BAWAH PIMPINAN ALLAH S.W.T.

Di dalam perjalanan menuju Baitul Muqaddis Rasulullah ditemani sepenuhnya oleh Malaikat Jibril dan di dalam perjalanan tersebut Baginda telah diperlihatkan oleh Allah S.W.T. yang Baginda sendiri tidak mengetahui maksudnya melainkan setelah menerima penerangan dari Malaikat Jibril a.s.
Di dalam perjalanan tersebut Baginda telah dipanggil oleh suara-suara yang cuba mengganggu konsentrasi Baginda dari kiri dan kanan, namun Baginda tetap mendiamkan diri serta tidak menoleh kepada suara yang memanggilnya. Di dalam perjalanan itu juga Baginda telah diganggu dengan bertemu dengan seorang wanita yang memakai terhiasan yang cukup banyak. Wanita itu juga memanggil-manggil Rasulullah s.a.w. namun Baginda Rasulullah tetap tidak memberi sebarang jawapan.
Di dalam perjalanan itu juga Baginda bertemu dengan Nabi Musa a.s. sedang bersembahyang di atas makamnya.
Setibanya Baginda bersama Jibril di Masjid Aqsa, malaikat Jibril menerangkan akan peristiwa yang dilihat oleh Baginda dalam perjalanan tadi. Malaikat Jibril menerangkan, bahawa panggilan pertama tadi ialah panggilan Yahudi. Sekiranya engkau menyahut panggilan itu nescaya seluruh umatmu akan mengikut ajaran agama Yahudi. Manakala panggilan kedua pula ialah panggilan Nasrani, jika kamu menjawabnya tadi nescaya umatmu seluruhnya akan mengikut ajaran agama Nasrani. Manakala wanita yang memperhiaskan dirinya dengan berbagai hiasan itu ialah dunia. Sekiranya engkau menoleh tadi nescaya seluruh umatmu akan memilih dunia dan langsung tidak mengingati akhirat. Alhamdulillah engkau ya Muhammad telah selamat melalui ujian pertama.

Sebelum Baginda dan malaikat memasuki Masjidil Aqsa, Baginda terlebih dahulu menambatkan Buraq tunggangannya di tempat yang lazimnya digunakan oleh Nabi-Nabi sebelumnya. Nabi memunaikan sembahnyang sunat dua rakaat di Masjidil Aqsa dengan Baginda sendiri menjadi imam, manakala malaikat dan nabi-nabi sebelumnya menjadi makmum kepada Baginda.
Setelah Baginda keluar Baginda terasa dahaga lalu malaikat Jibril membawakan bekas yang berisi susu dan arak,(sewaktu itu belum diharamkan meminum arak) seraya mempersilakan Nabi untuk memilih mana yang disukainya. Nabi Mumammad s.a.w. memilih bekas yang berisi susu. Lantas Jibril menerangkan sesungguhnya tuan telah memilih fitrah, sekiranya tuan mengambil arak nescaya umat tuan akan sesat.

PERJALANAN MIKRAJ
Setelah selesai Baginda meminum susu dari bijana (bekas) yang dipilih oleh Baginda sendiri, lalu Baginda meneruskan perjalanannya dengan ditemani oleh malaikat Jibril menuju ke langit pertama. Di dalam hal ini para ulama' berselisih pendapat, samada roh dan jasad Baginda sekaligus atau semata-mata dengan roh. Walau bagaimanapun pendapat yang mengatakan bahawa Baginda mikraj dengan kedua-dua sekali adalah lebih rajih. Mikraj Baginda masih tetap menaiki kenderaan Buraq. Setibanya di pintu langit pertama malaikat Jibril meminta izin untuk dibuka pintunya. Dialog malaikat Jibril dengan setiap penjaga pintu langit :
Setelah memberi salam penjaga pintu langit bertanya "Siapa tuan?". Jibril menjawab " Saya adalah Jibril bersama tetamu Allah, Muhammad." "Apakah dia telah menerima panggilan Ilahi?". Jibril menjawab ":Sesungguhnya ya, bahawa Muhammmad telah menerima jemputan Tuhannya." Penjaga pintu langit memberi keizinannya untuk melaluinya sambil mereka semua mengucapkan puji-pujian kepada Nabi Muhammad s.a.w. Dilangit pertama inilah Nabi Muhammad s.a.w. bertemu dengan bapa seluruh manusia iaitu Nabi Adam a.s. Nabi Muhammad s.a.w. memberi salam kepada Nabi Adam. Pertemuan ini ibarat pertemuan seorang anak dengan orang tuanya. Nabi Allah Adam a.s. mendoakan kebaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Di kala Nabi Muhammad s.a.w. bertemu Nabi Adam a.s. sedang duduk di suatu tempat yang terdapat di kanan kirinya beberapa gambaran atau bayangan mahluk. Ketika Nabi Adam a.s. melihat sebelah kanan ia tersenyum. Manakala ia menoleh sebelah kiri ia menangis. Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kehairanan kepada Jibril, lalu dijawab oleh Jibril yang sebelah kanan itu "Ya Muhammad adalah gambaran arwah-arwah anak cucu adam yang akan masuk syurga. Manakala yang berada di sebelah kiri adalah gambaran arwah-arwah anak cucunya yang akan masuk neraka."

Pengalaman seterusnya Malaikat Jibril membawa Nabi ke langit kedua. Pertanyaan yang serupa diajukan oleh malaikat yang menjaga pintunya, lalu dijawab oleh Malaikat Jibril seperti di langit pertama tadi. Penjaga langit kedua memberi penghormatan yang sama kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Dilangit kedua ini Nabi Muhammad s.a.w. bertemu dengan Nabi Isa ibnu Maryam a.s. dan Nabi Allah Yahya bin Zakaria, lalu Baginda memberi salam kepada kedua-duanya. Salam Baginda disambut oleh keduanya serta memberi penghormatan sebagaimana petemuan di antara saudara dengan saudara seperjuangnya. Nabi Isa ibnu Maryam a.s. dan Yahya bin Zakaria mendoakan semoga Nabi Muhammad s.a.w. beroleh kebaikan.
Dari langit kedua menuju ke langit ketiga hal yang sama dilalui oleh Baginda Rasulullah s.a.w. seperti dilangit-langit sebelumnya, dan di langit ketiga ini Nabi Muhammad s.a.w. bertemu dengan Nabi Allah Yusof iaitu Nabi yang dihiasi oleh Allah dengan paras rupa kecantikan. Nabi memberi salam dan salam dijawab seraya mendoakan kebaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Perjalanan Nabi diteruskan dan kini Nabi berada di langit yang keempat. Di langit keempat ini Nabi Muhammad s.a.w. bertemu dengan Nabi Allah Idris a.s. hal yang sama juga di langit ini seperti di langit yang telah dilalui. Setelah keizinan diberi Nabi memberi salam, salam Nabi dijawab oleh Nabi Idris a.s. dan mendoakan kebaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Pengembaraan Nabi menuju ke langit kelima, di langit ini Nabi bertemu dengan Nabi Allah Harun a.s. Di langit keeman pula Nabi bertemu dengan Nabi Musa a.s.Di langit ketujuh iaitu langit terakhir yang diterokai oleh Rasulullah s.a.w. Baginda bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah. Salam Nabi disambut lalu Nabi Ibrahim a.s. turut mendoakan kebaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

KEKASIH ALLAH BERTEMU KHALIKNYA

Setelah Baginda Rasulullah s.a.w. dibawa menjelajahi kesemua lapisan langit dengan ditemani malaikat Jibril serta bertemu dengan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul sebelumnya dan melewati batasan alam. maka sampailah ketikanya Baginda s.a.w. diperlihatkan suatu tempat yang diberi nama BAITUL MAKMUR. Baitul Makmur ialah suatu tempat atau rumah di mana saban hari sembahyang di dalamnya 70 juta malaikat.
Di sini sekali lagi Baginda Rasulullah s.a.w.teruji, malaikat Jibril membawakan tiga bijana yang masing-masing berisi arak, susu dan madu. Lalu Baginda memilih bijana yang berisi susu. Jibril berkata "Inilah jalan yang lurus yang tuan dan umat tuan akan jalani."
Akhirnya sampailah pengembaraan Nabi Muhammad s.a.w. di tempat yang bernama SIDRATUL MUNTAHA. Di tempat inilah Rasulullah s.a.w. mendengar suara-suara qalam menulis, dan di tempat ini berubahlah segala yang tidak dapat digambarkan mengenai kecantikannya.
Seperti yang diceritakan di dalam hadis Bukhari bahawa di Sidratul Muntaha terbit empat sungai, dua sungai di dalamnya, manakala dua sungai yang ada di dalam itu ialah sungai di syurga, manakala dua sungai di luarnya ialah Sungai Nil dan Sungai Furat. Kemudian Nabi Muhammad dibawa masuk ke dalam syurga dengan ditemani oleh malaikat Jibril.
Di dalam syurga Nabi mendengar suara yang lemah-lembut dari salah satu penjuru, lalu Rasulullah s.a.w. bertanya. Jibril menjawab "Itulah suara Bilal"
Diperlihatkan kepada Rasulullah s.a.w. dengan berbagai-bagai kesenangan yang tidak pernah dilihat oleh mata selama ini, dan tidak pernah didengar oleh telinganya, begitu juga tidak pernah terlintas di hati sanubari manusia sebagai balasan bagi insan yang melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Sesudah itu diperlihatkan pula kepada Nabi Muhammad s.a.w. akan neraka. Nabi melihat di dalamnya berbagai-bagai siksaan yang tidak dapat digambarkan azabnya. Sesudah itu ditamatkan pemandangan daripada dilihat oleh Nabi Muhammad s.a.w.

NABI MUHAMMAD S.A.W. BERTEMU TUHANNYA (ALLAH 'AZZA WAJALLA)

Di Sidratul Muntaha inilah terhentinya perlajanan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w. daripada ditemani oleh malaikat Jibril. Mengikut riwayat Ibnu Abbas, beliau berkata "Tiada sejengkal tempat di langit melainkan di situ ada malaikat yang beribadat dan bertasbih." Manakala Rasulullah s.a.w. bertanya "Apakah sampai di sini engkau harus meninggalkan aku?" Jibril menjawab "Aku tidak boleh melangkah walau setapak pun melewati tempat ini..." Rasulullah s.a.w. semakin dekat dengan Tuhannya, diriwayatkan jarak di antara Baginda dengan Allah hanyalah sejarak anak panah atau lebih dekat lagi dengan Allah A.W.T. menjelaskan di dalam Firman-Nya ayat 8-9 Surah An-Najm yang bermaksud :
"Kemudian ia menddekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad s.a.w.) lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad s.a.w.) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi". Sebahagian daripada ulama' berpendapat bahawa yang mendekat itu ialah Allah S.W.T. bukannya Rasulullah s.a.w. seperti yang disebut oleh Ibnu Hajar Al-Amawi di dalam kitab AL-MAGHAZI daripada hadis yang dikeluarkan oleh Thoriq Al-Baihaqi diambil daripada Abu Salamah daripada Ibnu Abbas berdasarkan firman Allah S.W.T. di dalam Surah An- Najm ayat ketiga belas yang bermaksud :"Dan demi sesungguhnya (Nabi Muhammad s.a.w.) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi".Mengenai perbahasan ini disabitkan bahawa Allah S.W.T. telah menghampiri dan mendekati Nabi Muhammad s.a.w. Ibnu Hajar seterusnya menerangkan bahawa Sanad (sandaran) hadis ini sangat baik, dan boleh dijadikan bukti yang kuat bagi riwayat Syuraik. Dengan demikian ianya memberi makna bahawa hadis ini hampir sama maksudnya dengan hadis Qudsi yang menerangkan bahawa Tuhan turun ke langit kedua pada dua pertiga malam. Maka dengan penghampiran ini, tersingkaplah segala tabir, terbukalah hijab, sehingga Baginda Rasulullah s.a.w. melihat wajah Tuhannya Rabbul Jalil. Di sinilah Rasulullah s.a.w. menerima perintah kefardhuan sembahyang untuk dirinya dan umatnya. Walaupun Baihaqi mengatakan pendapat ini adalah lemah, tetapi menurut Al-Bukhari 75-1, 11,4 dan Muslim 77,1, menerangkan bahwa sembahyang itu difardhukan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. ketika Baginda ke Sidratul Muntaha dari Baituk Makmur. Walau apapun perselisihan di antara para ahli Mufassirin dan Muhaddithin, yang paling diimani ialah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah menerima perintah mendirikan solat ketika Baginda bersendirian tanpa ditemani oleh malaikat Jibril selepas melepasi langit ketujuh.

Setelah Baginda menerima perintah solat dari Allah S.W.T. lima puluh kali sehari semalam, lalu Baginda turun bersama malaikat Jibril. Setibanya dil langit keenam langit di mana Nabi Allah Musa a.s. berada, Nabi Muhammad s.a.w. ditanya oleh Nabi Musa a.s. "Gerangan apakah yang telah engkau perolehi dari Tuhanmu?" Nabi Muhammad s.a.w. menjawab "Bahawa aku dan umatku telah diperintahkan oleh Allah untuk mengerjakan solat lima puluh kali sehari semalam". Nabi Musa a.s. berkata "Kembalilah kepada Tuhanmu dan pintalah keringanan, kerana umat tuan tidak berdaya mengerjakannya, saya telah cuba sebelum tuan". Nabi Muhammad s.a.w. kembali menemui Tuhannya untuk dikurangkan perintah solat itu. Allah S.W.T. telah mengurangkan sepuluh menjadikan jumlah solat empat puluh kali sahaja. Nabi Muhammad turun bertemu semula dengan Nabi Musa a.s.Ia bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. jumlah yang telah dikurangkan. Nabi Muhammad s.a.w. memberi jawapan. Nabi Musa a.s. masih memberi pandangan agar nabi Muhammad s.a.w. kembali menemui Tuhannnya untuk kurangkan lagi jumlah solat. Nabi Muhammad s.a.w. menuruti pandangan Nabi Musa a.s. sehingga beberapa kali, yang akhirnya mendapat keringanan sepuluh, dan terakhir sekali lima kali sehari semalam. Nabi Musa a.s. masih memberi pandangan bahawa lima kali sehari semalam pun masih berat untuk dikerjakan. Nabi Muhammad s.a.w. menyahut "Aku telah redha dan terima serta berasa malu untuk meminta dikurangkan lagi kerana Firman Allah S.W.T. pada kali yang terakhir aku memohon keringanan solat itu", "Sungguhpun sembahyang itu lima kali, tetapi ganjarannya tetap lima puluh kali. Lantaran kebaikan yang dikerjakan oleh umat akan diberi ganjaran sepuluh kali ganda, dan barang siapa berniat hendak membuat kebaikan walaupun ia tidak melaksanakannya akan diberi pahala satu ganjaran, dan barangsiapa berbuat kejahatan, ia akan diberi balasan satu sahaja, dan bila berniat hendak melakukan kejahatan tetapi tidak jadi melakukannya, ia tidak ada apa-apa balasan".

KEMBALI KE ALAM DUNIA

Setelah selesai urusan Mikraj, maka Nabi Muhammad s.a.w. bersama malaikat Jibril kembali ke alam dunia (Baitul Muqaddis) dengan tunggangan binatang yang sama (Buraq) dan terus menuju ke Makkah. Sebelum waktu Subuh Nabi Muhammad s.a.w. telah sampai ke Makkah. Pada pagi itu Nabi terus ke rumah sepupunya yang bernama Ummu Hani' binti Abi Talib yang ketika itu beliau belum lagi memeluk Islam. Nabi Muhammad s.a.w. bersembahyang Subuh di rumah Ummu Hani bersama-sama ahli keluarganya yang ada di rumah tersebut yang telah memeluk Islam.

Setelah selesai menunaikan solat. Nabi Muhammad s.a.w. menceritakan peristiwa yang telah dilalui pada malam tadi dan bergegas untuk keluar untuk menceritakan kepada kaum Quraisy mengenai Israk dan Mikraj yang telah berlaku kepadanya. Ummu Hani' memegang Nabi sambil berkata "Wahai anak bapa saudaraku, sekiranya engkau pergi menceritakan mengenai perjalananmu nescaya mereka akan mendustakan dan menolak perkhabaran yang engkau ceritakan".
Mendengar perkataan itu Nabi Muhammad s.a.w. terus menyentak bajunya yang dipegang oleh Ummu Hani' Baginda terus keluar tetapi dengan berbekal kepercayaan bahawa mereka akan mendustakan dirinya. Justeru itu sebelum Nabi meneruskan niatnya Baginda berhenti dan duduk di satu tempat sambil berdukacita. Pada ketika itu datang Abu Jahal menghampiri Nabi dan duduk di sisinya sambil bertanya dengan cara memperolokkan Nabi "Adakah apa-apa perkhabaran?". Jawab Nabi "Ya, ada" "Apa dia?" soal Abu Jahal kepada Nabi "Malam tadi aku dibawa ke Baitul Muqaddis" jawan Nabi.
Dipendekkan cerita, maka Abu Jahal telah mengumpulkan kaum Quraisy untuk mendengar cerita Nabi mengenai Israk dan Mikraj yang telah dilalui oleh Baginda. Ada yang kehairanan dari kalangan pada hadirin, ada yang menyenseng lengan merasa ta'ajjub dengan cerita yang luar biasa. Malah terdapat segolongan manusia di waktu itu menjadi murtad, walaupun pada awalnya menunaikan solat Subuh bersama Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad s.a.w. terus diejek-ejek dan diperolok-olokkan oleh kaumnya, terdapat dari kalangan mereka pergi mengkhabarkannya kepada Abu Bakar tentang cerita Nabi Muhammad s.a.w. yang dianggap terlalu ganjil dan aneh. Sambil bertanya samada Abu Bakar turut percaya dengan cerita itu atau sebaliknya, Abu Bakar menjawab "Apakah benar Muhammad berkata demikian?" Jawab mereka "benar..." Abu Bakar pun berkata "Kalau Muhammad berkata demikian, tentu benar di dalam perkataanya dan aku benarkan dia (Muhammad) dalam urusan yang lebih jauh dari itu. Aku benarkan dia (Muhammad) dalam warisan wahyu dari langit". Maka mulai saat itu Abu Bakar digelarkan Siddiq yang bererti orang yang sangat membenarkan, atau yang tersangat benar.

TAMSIL DAN IBARAT

Di dalam kisah Israk Mikraj Rasulullah s.a.w. sering kita mendengar bahawa perjalanan Baginda bermula dari Masjidil Haram di Mekah menuju Masjidil Aqsa hinggalah ke Sidratul Muntaha telah ditunjukkan kepada Baginda berbagai-bagai gambaran yang ianya merupakan Tamsil serta Ibarat akan berlaku kepada umat Baginda,disamping beberapa pengajaran yang amat berguna kepada generasi kita umat Nabi Muhammad s.a.w. Pada awal perjalanan diperlihatkan kepada Baginda seorang perempuan tua ditepi jalan, Nabi Muhammad s.a.w bertanya kepada Malaikat Jibril "Apa ini Ya Jibril?" di jawab oleh Jibril "Jalanlah terus". Baginda tidak bertanya lagi.
Dalam meneruskan perjalanan tiba-tiba Nabi Muhammad s.a.w. terdengar sesuatu yang menyimpang dari jalan seraya menyeru Nabi "Marilah ke sini Ya Muhammad". malaikat Jibril segera berkata "Teruskanlah perjalanan ini" Di hadapan tiba-tiba terdengar orang memberi salam kepada Baginda "Sejahtera ke atasmu hai yang awal, dan sejahtera ke atasmu hai Hasyir" Malaikat Jibril meminta Nabi Muhammad s.a.w. menjawab salam itu. Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bertemu orang yang lain disusuli pula oleh seorang lagi yang memberi salam yang sama kepada Nabi Muhammad s.a.w. lalu Nabi Muhammad s.a.w. menjawab salam dari kedua-duanya.
Dalam Nabi Muhammad s.a.w. tidak mengetahui langsung peristiwa-peristiwa yang telah ditemui tadi, malaikat Jibril a.s. menerangkan bahawa perempuan tua di tepi jalan yang telah tuan temui tadi ialah bandingan atau tamsil tuanya usia dunia ini, maka baki usia dunia ini adalah sebanding dengan baki usia perempuan itu tadi.Seterusnya malaikat Jibril menerangkan sesuatu yang menyimpang serta memanggil-manggil Nabi Muhammad s.a.w. supaya dekat kepadanya tadi ialah iblis, ia mengharap supaya Baginda cenderung kepadanya.
manakala orang-orang yang memberi salam kepada Baginda dalam perjalanan tadi ialah Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., dan Nabi Isa a.s. Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w. melihat Nabi Musa a.s. sedang bersembahyang di atas kuburnya.
Di dalam meneruskan perjalanan Baginda Rasulullah s.a.w. yang ditemani malaikat Jibril menuju Masjidil-Aqsa diperlihatkan juga kepada Baginda keadaan satu kaum yang menanam dan mengetam dalam satu hari . Tiap-tiap kali ia mengetam (menuai), ladang dan sawah mereka kembali seperti keadaan sebelumnya. Baginda bertanya kepada Jibril. Jawabnya, "Itulah gambaran orang-orang yang berperang di jalan Allah S.W.T., diberikan kepada mereka ganjaran atau pahala tujuh ratus kali ganda". Gambaran seterusnya diperlihatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. satu golongan yang menghempap-hempapkan kepala mereka dengan batu yang besar. Setiap kali mereka menghempapkan kepala mereka dengan batu hingga pecah , kepala mereka akan bercantum kembali seperti sediakala dan mereka dan mereka akan mengulangi perbuatan itu dengan tidak henti-henti . Maka Baginda pun bertanya kepada Jibril, "Siapakah gerangan ini wahai sahabatku Jibril?'. Malaikat Jibril pun menerangkan dengan katanya:
"Merekalah golongan yang berat kepalanya untuk mengerjakan sembahyang Fardu".
Dalam perjalanan seterusnya Nabi Muhammad s.a.w. melihat satu kaum di mana kemaluan depan dan belakangnya hanya ditutupi dengan kain-kain perca yang robak-rabik. Mereka meragut-ragut ke sana ke mari persis seekor unta dan kambing. Mereka memakan duri-duri dan barang-barang yang telah busuk, mereka menelan bara api dan batu.Setelah Nabi Muhammad s.a.w. mengemukakan soalan lalu diterangkan oleh malaikat Jibril, katanya "Ya Rasulullah , itulah gambaran orang-orang yang tidak menunaikan zakat hartanya hidup di dunia.
Seterusnya diperlihatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. segolongan manusia , di mana di hadapan mereka ada daging yang telah dimasak dalam satu kuali, dan terdapat pula daging mentah yang kotor dan busuk. Mereka ini memilih daging yang mentah dan busuk tadi untuk di makan, sedangkan daging yang baik dan masak dibiarkan begitu sahaja. Ketika Nabi muhammad s.a.w. mengajukan soalan kepada malaikat Jibril lalu ia menerangkan gambaran tersebut dengan katanya:
"Inilah laki-laki yang ada padanya isteri yang halal lagi baik (solehah),tetapi ia pergi tidur dengan perempuan yang tidak halal. Begitu juga perempuan yang ada baginya suami yang halal dan baik (soleh) tetapi ia tidur (berzina) dengan lelaki lain yang tidak halal".
Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w. berjumpa seorang lelaki yang sedang mengumpul satu beban yang berat, di mana ianya tidak terdaya untuk memikulnya tetapi ia terus menerus menambah bebanan itu tadi. Tatkala Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kepada Jibril, ia menjawab "Itulah gambaran lelaki umat tuan yang sudah ada padanya amanah manusia yang tidak ia tunaikan , tetapi ia masih mahu menerima amanah lagi".
Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w. bertemu sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah-lidah dan bibir-bibir mereka dengan gunting besi. Tiap-tiap kali digunting lidah dan bibir mereka, ianya kembali seperti sediakala Nabi Muhammad s.a.w. pun meminta malaikat Jibril menerangkan keadaanya yang dilihatnya, lalu dijawab oleh Jibril "Inilah Ya muhammad gambaran umatmu yang suka membuat fitnah.
Kemudian perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. sampai dekat dengan sebuah lubang kecil dimana keluar dari lubang itu seekor sapi jantan yang besar. Kemudian sapi jantan itu berusaha untuk masuk kembali ke dalam lubang itu tetapi gagal. Ketika itu Nabi Muhammad s.a.w. terus bertanya kepada jibril lalu diterangkan oleh Jibril "Itulah gambaran atau perumpamaan bagi seseorang yang telah mengucapkan sesuatu perkataan, lalu ia menyesal, walhal ucapan atau perkataan itu tidak dapat ditarik kembali".
Pengalaman seterusnya Nabi Muhammad s.a.w. melalui sebuah lembah, bertiup angin angin yang lembut lagi dingin dan diiringi dengan bauan yang harum semerbak daripadanya serta mengeluarkan suara.Lalu Nabi Muhammad s.a.w. bertanyakan kepada malaikat Jibril dan dijawab olehnya "Wahai Kekasih Allah, itulah Syurga!. Manakala erti suara itu ialah Wahai Tuhanku, berikanlah kepadaku pendudukku dan apa yang Engkau janjikan kepadaku kerana sesungguhnya telah banyak tanam-tanamanku dan pakaian-pakaian dari sutera dengan segala macam keindahan,mutiara dan marjan , emas dan perak, piring dan mangkuk, kendi dan piala, madu dan air, susu dan arak. Oleh yang demikian, berikanlah apa yang Engkau janjikan padaku". Maka firman Tuhan "Wahai Syurga! Bahagianmu ialah tiap-tiap muslim lelaki dan wanita, dan tiap-tiap orang yang beriman kepada aku (Allah) dan kepada rasulku serta beramal soleh dan tidak menyekutukan sesuatu denganku. Maka barabg siapa minta kepadaku nescaya akan aku berikan kepadanya dan barang siapa memberi hutang kepadaku nescaya akan aku balas ia, dan barang siapa berserah kepadaku nescaya akan aku beri kecukupan baginya. Sesungguhnya berbahagialah orang-orang yang beriman (mukmin) dan Maha Suci Allah, sebaik-baik Pencipta.
Setelah itu Syurga pun menyambut Firman Allah "Wahai Tuhanku , sesungguhnya aku telah redha dengan pemberianmu itu". Di Lembah yang lain pula Nabi Muhammad s.a.w. terdengar suara yang tidak mengenakkan serta keluar darinya bau yang sangat busuk. Lalu Nabi meminta penjelasa dari Jibril gerangan apakah itu sebenarnya . Jibril seperti biasa menerangkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan tenang katanya "Itulah Neraka! Dan suaranya itu mengandungi erti Wahai Tuhanku berilah apa yang telah engkau janjikan untukku, kerana belenggu panas dan bernyala , duri dan nanah, seksaan dan azab , sesungguhnya telah bertambah sayup jurangku dan telah berlebihan bahang panasku.Oleh yang demikian berikanlah apa yang engkau janjikan buatku".
Maka Allah pun berfirman "Hai Neraka! Bahagianmu adalah tiap-tiap orang yang melakukan kejahatan, kafir dan musyrik, lelaki dan perempuan dan tiap-tiap penganiaya yang tidak percaya kepada hari hisab (perhitungan)". Neraka menjawab dengan pemberianmu itu".
Dalam perjalanan seterusnya Nabi Muhammad s.a.w. tercium suatu tiupan bauan yang wangi dan harum. Lantas Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kepada Jibril dan Jibril menjawab, katanya "Ya Kekasih Allah yang dimuliakan .Firaun mempunyai anak perempuan dan anak perempuannya memiliki seorang pengasuh sebagai tukang sisir rambutnya, bau yang semerbak harum inilah bau penyisir itu dan anak-anaknya yang beriman bersungguh-sungguh kepada Allah S.W.T. dan Rasulnya. Ceritanya, pada masa ia sedang menyisir rambut anak perempuan Firaun tiba-tiba terlepas dari tangannya, lalu jatuh dan terkeluar dari mulut tukang sisir itu kalimah ALLAH. Anak Firaun itu bertanya "Adakah bagimu, hai penyisirku Tuhan selain dari ayahndaku?". Penyisir itu menjawab "Tuhanku,Tuhanmun dan Tuhan ayahandamu itu hanyalah ALLAH!" Apabila saja Firaun mendengar cerita itu, lalu dipanggilnya sipenyisir itu untuk mendapatkan kepastian ke atas katanya."Adakah bagimu Tuhan selain aku?" Penyisir itu menjawab dengan tenang. "Tuhanku dan Tuhanmu ialah ALLAH". Mendengar jawapan itu Firaun memerintahkan supaya dipanaskan kawah besar daripada tembaga yang penuh berisi air, lalu dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas itu anak perempuan tukang sisir itu satu persatu dan yang akhir sekali ialah perempuan tukang sisir itu sendiri hingga semuanya mati syahid .Kesemua mereka menerima hukuman yang kejam dan bengis tetapi tidak sedikit pun mengubah keimanan mereka kepada Allah . Dalam perjalanan seterusnya tiba-tiba Nabi Muhammad s.a.w. terdengar seruan dari sebelah kanan, katanya "Hai Muhammad! Tunggulah sebentar, aku hendak bertanya kepadamu". Nabi Muhammad s.a.w. tidak mempedulikan seruan itu . Malaikat Jibril pun berkata "Inilah seruan Yahudi, kiranya tuan menjawab atau berhenti, nescaya umat tuan akan jadi Yahudi". Tiba-tiba dari sudut kiri pula Nabi mendengar seruan yang sama, Nabi tetap tidak menghiraukan seruan itu. Lalu malaikat Jibril menerangkan gerangan seruan itu, katanya "Wahai Kekasih Allah yang dimuliakan,inilah seruan Nasrani. KAlaulah tuan menjawab atau berhenti menuruti panggilan tadi, nescaya umat tuan akan menjadi Nasrani". Seterusnya NAbi bertemu seorang perempuan yang menyinsingkan kedua-dua tangan bajunya. Terlihatlah dari kedua-dua tangannya beranika macam perhiasan yang dijadikan oleh Allah. Perempuan itu berseru "Wahai Muhammad berhentilah sebentar, aku hendak bertanya padamu".
Nabi Muhammad s.a.w. tidak mengendahkan seruan itu, lalu malaikat Jibril menerangkan perihal perempuan itu,katanya "Itulah dia gambaran dunia, sekiranya tuan berhenti atau menyahut seruannya nescaya umat tuan akan lebih memilih dunia dan akhirat . Setelah sampai di suatu tempat, maka malaikat Jibril berkata 'Wahai tuan, Turun dan sembahyanglah". Setelah selesai sembahyang Jibril berkata "Inilah Tayyibah , di suatu hari nanti di tempat inilah tuan akan berhijrah". Dari sana mereka terus berangkat dan ketika sampai di tempat lain Jibril meminta Nabi Muhammad s.a.w. turun dari kenderaannya dan bersembahyang. Lalu katanya "Inilah dia tempat yang bernama Madyan, dekat dengan pohon Nabi Musa a.s. Di tempat lain pula , Jibril meminta Nabi Muhammad s.a.w. turun dan bersembahyang lagi. Setelah selesai solat Jibril menerangkan inilah dia BAITUL-LAHAM tempat Nabi Isa a.s. diputerakan oleh ibunya Maryam.
Setelah Nabi Muhammad s.a.w. menambatkan tunggangannya (buraq) di satu perkarangan yang biasa Nabi-nabi sebelum Baginda menambat padanya lalu kedua-duanya memasuki Baitul Muqaddis dan bersembahyang dua rakaat. Setelah keluar dari masjid Nabi Muhammad s.a.w. merasa dahaga . Dibawakan oleh Jibril dua bijana yang masing-masing bersisi susu dan arak serta mempersilakan Nabi Muhammad s.a.w. memilih bijana yang berisi susu, lalu Jibril pun berkata "Sesungguhnya tuan mengambil arak nescaya akan sesat umat tuan". Pengajaran Di dalam Perjalanan Mikraj,
Kalau di dalam perjalanan Baginda Rasulullah s.a.w dari MAsjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Muqaddis, Baginda telah diperlihatkan dengan gambaran serta ibarat oleh Allah S.W.T, manakala pentafsiran gambaran yang dilihat oleh Baginda itu diterjemahkan oleh malaikat Jibril yang menemani Baginda.

Maka begitu juga keadaanya dalam Mikraj Baginda bermula dari langit pertama hingga ke langit yang ke tujuh.Baginda Rasulullah s.a.w. telah melihat beberapa gambaran dan pertunjukan , yang mana gambaran dan pertunjukan yang dilihat oleh Baginda itu kesemuanya memberi tamsilan dan ibarat untuk umat Baginda ketika Mikraj, manakala setengah pendapat mengatakan tujuh gambaran yang dilihat oleh Baginda tidak termasuk gambaran yang dilihat oleh Baginda di Sidratul Muntaha.

Pendapat yang kedua ini dianggap oleh sebahagian besar ulama' lebih sahih daripada pendapat yang pertama.Gambaran yang dipertunjukan dan diperlihatkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. kebanyakannya di langit pertama, gambara pertama yang dilihat oleh Baginda ialah:
1.Terdapat beberapa buah meja di atasnya daging yang baik belaka, tetapi tidak seorang pun dari mereka yang berada di situ mendekatinya . Manakala beberapa meja yang lain yang di atasnya terdapat daging yang berbau busuk dikerumuni dan dimakan oleh mereka. Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kepada malaikat Jibril, "Apakah ertinya ini wahai Jibril?". Malaikat Jibril menerangkan gambaran tersebut, "Mereka dari kalangan umat tuan yang meninggalkan yang baik dan mengambil yang haram ".

2.Gambaran kedua Rasulullah s.a.w. melihat beberapa golongan manusia , bibir-bibirnya sepertii bibir unta. Masing-masing mengangakan mulut-mulut mereka, kemudian dimasukkan ke dalam mulut mereka api yang membara dan keluar dari dubur mereka, di samping terdengar mereka berteriak dengan bunyi yang hingar-bingar menyebut nama Allah S.W.T. Nabi Muhammad s.a.w. bertanya lagi kepada Jibril dan malaikat Jibril menjelaskan, "Wahai Kekasih Allah , itulah gambaran mereka-mereka yang memakan harta anak yatim".

3.Seterusnya Rasulullah melihat sekumpulan perempuan-perempuan digantung dari buah dada masing-masing. mereka semuanya meraung-raung dan menjerit-jerit sekuat-kuatnya meminta pertolongan dari Allah S.W.T. Nabi Muhammad bertanya kepada malaikat Jibril , lalu Jibril menerangkan gambaran tersebut , "Bahawa itulah gambaran perempuan-perempuan sewaktu hidupnya di dunia melakukan zina".

4.Seterusnya diperlihatkan kepada Baginda, beberapa golongan manusia yang perutnya terlalu besar . Golongan ini mencuba beberapa kali berusaha untuk bangun tetapi gagal , setiap kali berusaha untuk bangun mereka rebah kembali .Rasulullah s.a.w. pun bertanya kepada Jibril, "Siapa pula mereka ini Ya Jibril!". Jibril pun menjelaskan , "Inilah gambaran mereka dari kalangan umat tuan yang memakan riba".

5.Gambaran seterusnya di langit pertama ini Rasulullah s.a.w. melihat beberapa golongan manusia yang memotong daging dari rusuk mereka sendiri lalu memasukkannya ke dalam mulut mereka sambil berkata-kata , "Makanlah sebagaimana engkau memakan daging saudaramu sendiri". Jibril pun menerangkan kepada Rasulullah s.a.w. gambaran yang dilihat itu, "Bahawa inilah gambaran dari umat tuan yang mengumpat dan mempersendakan-sendakan orang lain".

6.Gambaran yang dilihat oleh Baginda Rasulullah s.a.w. yang terakhir dilihat di langit pertama ialah terdapat segolongan manusia yang berkuku tembaga.Mereka mencakar-cakar muka dan dada-dada mereka sendiri . Ketika ditanya oleh Rasulullah s.a.w., malaikat Jibril pun menjelaskan ,"Inilah gambaran dari umat tuan yang suka mengumpat dan mencaci orang lain sewaktu hidupnya di dunia". Manakala di langit yang ketujuh Rasulullah s.a.w.. melihat dan mendengar dari arah atas cahaya kilat, bunyi guruh dan petir di samping Baginda melihat segolongan manusia di mana perut-perutnya buncit sebesar rumah dan di dalamnya penuh dengan ular-ular yang dapat dilihat dari luar.Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Jibril gerangan siapakah mereka ini? dan Jibril pun menerangkan, "Inilah gambaran dari umat tuan yang sewaktu hidupnya di dunia memakan riba".Demikianlah tujuh gambaran yang diperlihatkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad s.a.w.di dalam pengembaraan melaui langit pertama hingga ke langit yang ke tujuh, sebelum Baginda ke Sidratul-Muntaha dan seterusnya bertemu dengan Allah Rabbul-Jalil,pencipta alam sejagat dan seisinya.

PENUTUP

Demikianlah paparan kisah israk dan Mikraj yang telah berlaku kepada Nabi Muhammad s.a.w.,ianya merupakan pengembaraan yang jauh melepasi alam samawiat menemui Tuhannya, bermula dari sebuah rumah dan Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjidil Aqsa di Palestin dan seterusnya melalui tingkatan dilangit dari satu tingkat ke satu tingkat.
Bagi akal yang bebal yang tidak dihidupkannya dengan iman, maka sudah barang tentu peristiwa ini amat sukar untuk diterima . Samada oleh golongan di zaman Baginda seperti Abu Jahal dann lainnya , ataub di zaman moden ini, kerana pengembaraan itu merupakan suatu yang sukar mengikut perkiraan akal semata-mata.
Contohnya hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, dimana kita telah dibentangkan dialog antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan Abu Jahal yang berkesudahan dengan keingkaran dan pendustaan mereka terhadap peristiwa israk dan Mikraj. malah ada diantaranya yang baru menunaikan solat subuh bersama Baginda kembali murtad kerana ketipisan iman di dalam sanubari mereka. Berbanding dengan Abu Bakar As-Sddiq, berita yang diterimanya mengenai israk dan Mikraj yang berlaku kepada Nabi Muhammad s.a.w. walaupun sampai kepadanya bukan dari mulut Rasulullah s.a.w. tetapi oleh orang lain, dia terus mempercayainya tanpa was-was dengan alasan bahawa peristiwa israk dan mikraj yang berlaku kepada Baginda adalah merupakan urusan Allah S.W.T. dan Rasullullah . Maka apa perlu dipertikaikan , lebih daripada itu Allah boleh melaksanakannya . Melalui peristiwa ini Saiyidina Abu Bakar menerima gelaran As-Siddiq yang membenarkan.
Melihat kedua orang ini (Abu Jahal dan Abu Bakar), mereka melihat dari sudut akal sahaja , manakala Abu Bakar melihat peristiwa itu dengan kacamata iman . Dengan sebab itu para ulama' mengatakan bahawa israk dan Mikraj adalah ujian keimanan, bukannya ujian akal. Firman Allah S.W.T. bermaksud:
"Dan tiada apa yang Kami perlihatkan (di dalam israk) kepadamu itu melainkan menjadi ujian (keimanan) kepada manusia (surah isra'ayat 60)

Sesungguhnya bagi golongan manusia yang menolak peristiwa israk dan Mikraj ini menunjukkan mereka tidak menyedari bahawa peristiwa itu adalah Mukjizat, dan apabila disebut mukjizat maka sudah tentu ianya tidak dapat diterima melalui logik akliah semata-mata .Contohnya bahawa api itu adalah panas.

WALLAHU A'LAM

p/s bak kata ustaz di tv9, berfikir gunakan akal, akal akan menolak kenyataan di atas..tapi percaya gunakan iman..iman akan menyakinkan peristiwa di atas adalah benar sebenar2nya..kerana orang islam dibekalkan dengan iman dan takwa..
iman umpama semut hitam yang berjalan diatas batu hitam di malam yang gelap..tak nampak tp ia ada..yakin la dengan iman..moga bersama mendapat keberkatannya..insyaAllah..amin..

keterangan lanjut boleh rujuk disini

No comments: